Antena Tatasusun Pantulan Bagi Penerima Satelit
by
Siti Hafizah Yusop
( Author )
,
Mohd Fais Mansor
( Author )
,
Norbahiah Misran
( Author )
,
Mohammad Tariqul Islam
( Author )
Industri satelit penyiaran langsung telah berkembang pesat di Malaysia sejak bermulanya operasi penyiaran televisyen satelit oleh Astro pada tahun 1996. Sejak itu, antena pemantul parabola bagi menerima isyarat satelit telah menjadi objek biasa di bumbung rumah-rumah. Namun, kosnya yang tinggi dan strukturnya yang berat merupakan kelemahan yang ketara bagi antenna ini. Antena tatasusun pantulan merupakan sebuah antena gandaan tinggi yang mempunyai keupayaan memfokuskan alur utama radiasi bagi aplikasi penerima satelit penyiaran langsung seterusnya menggantikan antena pemantul parabola. Antena ini mempunyai persamaan operasi dengan antena pemantul parabola tetapi mempunyai lebih banyak kelebihan seperti ringan, kos pembuatan yang murah, pemasangan yang mudah, boleh dilipat dan lain-lain ciri yang menarik. Walau bagaimanapun, untuk membangunkan sebuah antena tatasusun pantulan yang berprestasi tinggi, perhatian yang terperinci perlu diberikan kepada pembangunan elemen pemantulnya dan penyusunannnya dalam konfigurasi tatasusun. Buku ini memfokuskan kepada kedua-dua perkara utama ini iaitu untuk membangunkan sebuah elemen pemantul yang berprestasi tinggi dan kemudian menyusunnya dalam konfigurasi tatasusun untuk membentuk sebuah antena yang lengkap berserta suapan daripada antena hon. Pada peringkat pembangunan elemen, prestasi julat fasa, kecerunan fasa, lebar jalur dan kehilangan balikan dianalisis dan elemen yang memberikan prestasi yang optimum bagi keempat-empat parameter ini seterusnya digunakan untuk membangunkan antena tatasusun pantulan. Pada peringkat pembangunan antena, prestasi gandaan antena, lebar alur, aras cuping sisi dan kecekapan antena pula dianalisis. Analisis dan pembangunan antena ini dijalankan pada frekuensi operasi 11.2 GHz dengan menggunakan perisian komputer CST Microwave Studio. Selepas analisis dijalankan, beberapa set antena dibangunkan menggunakan teknik fotolitografi punaran dan prestasi isyarat terpantul antena diukur menggunakan ruang bebas gema. Ini mengesahkan kemampuan antena tatasusun pantulan untuk beroperasi sebagai sebuah antena bergandaan tinggi.